
Salam
Hari ini adalah last day atau hari terakhir dalam bulan Sya'aban. Masuk waktu Asar nanti secara rasminya Ramadhan tiba. Bila teringat Ramadhan tahun lepas, hati aku rasa begitu tenang walaupun dalam bulan Ramadhan tahun lepas terlalu banyak dugaan berat yang aku terpaksa lalui. Alhamdulillah, dengan bimbingan terus dari Allah, aku berjaya laluinya. Aku amat berharap kembalinya Ramadhan kali ini aku akan berjaya laluinya dengan baik. Baik di sini bermaksud, aku dapat membersihkan diri aku dari segala dosa maksiat yang telah aku lakukan sebelum ini. Bagi aku, aku perlukan kekuatan untuk membina semula kekuatan dalaman aku dalam tempoh sebulan ini. Sebulan adalah tempoh yang singkat tetapi sebulan itu kita berada di dalam madrasahNYA iaitu madrasah tarbiah Allah.
Sejak beberapa minggu lepas seorang sahabat di alam maya ada menyebut bahawa kemungkinan Ramadhan ini adalah Ramadhan terakhir dalam suasana yang aman, tenteram dan tenang. Aku faham maksudnya kerana aku sudah merasakan semakin dekat waktu itu tiba. Waktu itu atau saat-saat itu memang aku tertunggu-tunggu. Waktu itu segala sabdaan Rasulullah SAW akan menjadi kenyataan. Segala janji Allah akan terlaksana. Bila mengenangkan akan tibanya waktu itu, aku rasa seram sejuk. Seluruh badan aku akan rasa sejuk dan perasaan aku menjadi takut. Aku sedar diri aku kurang persediaan luaran dan dalaman. Aku sedar diri aku punya kelemahan iman yang amat ketara.
Kepala aku tidak henti-henti berfikir apakah persediaan yang perlu aku lakukan untuk menghadapi saat ini. Aku berfikir apakah yang perlu aku buat untuk menyelamatkan isteriku, mak, ayah, anak saudara, mak mertua dan abah mertua dikala aku keluar berjuang bersama insan pilihan Allah iaitu Muhammad Bin Abdullah a.s. Semua ini berlegar difikiran tanpa aku paksa.
Aku pun tak tahu hendak catatkan apa lagi ketika ini. Tempoh yang ada cuma beberapa bulan sahaja dari sekarang. Bukan beberapa tahun. Tapi beberapa bulan. Semoga Allah dapat berikan aku kekuatan untuk menghadapi hari tersebut dan semoga Allah memilih aku untuk bersama manusia mulia yang bernama Muhammad Bin Abdullah a.s atau dikenali sebagai Al-Mahdi a.s. Setakat ini catatan jurnal kali ini. InsyaAllah, jika berkesempatan, aku akan kembali membuat beberapa catatan di sini.
0 comments:
Post a Comment